![]() |
PESAKIT mental yang tidak mendapat sokongan moral dan tidak
dirawat menyebabkan mereka bertindak agresif.
|
Masalah murung tanpa rawatan punca utama
KUALA LUMPUR: Kira-kira tiga juta penduduk negara ini yang
mengalami masalah kesihatan mental berpotensi menghidap penyakit mental atau
gila sekiranya tidak menerima rawatan dengan masalah murung menjadi punca utama
penyakit berkenaan.
Kajian Beban Penyakit oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia
(WHO) meramalkan masalah kemurungan yang menjadi antara punca penyakit mental
akan naik ke tangga kedua teratas selepas penyakit jantung iskemia di seluruh
dunia menjelang 2020.
Di Malaysia, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan ke-III pada 2006
menunjukkan kewujudan masalah kesihatan mental adalah 11.2 peratus di kalangan
orang dewasa dan 20.3 peratus di kalangan kanak-kanak dan remaja.
Ini bermakna, remaja dan kanak-kanak berisiko untuk terdedah kepada penyakit
mental berpunca daripada faktor biokimia dalam otak termasuk akibat peristiwa
hitam dalam hidup, hilang orang tersayang, cabaran hidup terlalu sukar dan
tahap sosioekonomi rendah.
Penyakit itu boleh dikesan melalui tanda awal seperti perubahan tingkah laku
ketara, cepat marah, keresahan, sedih berpanjangan, mempunyai idea pelik,
memikir dan bercakap soal bunuh diri, penyalahgunaan dadah serta alkohol dan
tidak upaya melakukan aktiviti harian.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam merangkap Ketua Penolong Pengarah Kanan
(Kesihatan Mental) Cawangan Penyakit Tidak Berjangkit Bahagian Kawalan
Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr Nurashikin Ibrahim ketika mengulas isu itu
berkata, kebanyakan kes dilapor membabitkan mereka berusia 25 hingga 34 tahun.
Katanya, individu yang mengalami masalah Neurosis cuma mengalami perubahan
dalam pemikiran, perasaan menyebabkan gangguan dalam fungsi harian seperti
kerap resah, murung dan bimbang, tetapi tidak menjejaskan kewarasan.
Penghidap penyakit Psikosis pula akan mengalami perubahan ketara dalam aspek
tingkah laku dan tidak waras misalnya Skizophrenia iaitu kecelaruan manik-depresif
(bipolar).
Dr Nurashikin berkata, penyakit itu masih terkawal sepenuhnya melalui pelbagai
usaha kerajaan serta teknik rawatan ubatan moden memastikan proses pemulihan
lancar, sekali gus membantu pesakit kesihatan mental tidak merebak hingga
menghidap penyakit mental.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan melalui 233 pakar yang bertugas di empat
institusi mental dan 38 hospital kerajaan berusaha keras memastikan penyakit
itu dikawal dengan menyediakan perkhidmatan psikiatri.
Kerajaan juga menyediakan 671 klinik kesihatan untuk perkhidmatan kesihatan
mental termasuk rawatan susulan bagi pesakit mental stabil pada peringkat
komuniti dengan dibantu 80 orang ahli klinikal psikologi dan 192 pakar
perubatan keluarga di klinik kesihatan.
“Bilangan pesakit lelaki lebih ramai daripada wanita. Kemungkinan lelaki lebih
sukar dikawal di luar fasiliti kesihatan berbanding wanita.
“Individu yang mengalami masalah kesihatan mental bukan bermaksud mereka
mengalami masalah mental kerana kesihatan mental membabitkan semua orang,
manakala penyakit mental membabitkan sebahagian orang saja.
“Pesakit mental yang tidak dirawat termasuk gagal mematuhi prosedur makan ubat
berisiko menyebabkan kemudaratan kepada diri dan orang di sekeliling. Mereka
berkemungkinan mengalami ‘relapse’ dan boleh bertindak agresif,” katanya.
Dr Nurashikin berkata, situasi di Malaysia tidak begitu membimbangkan kerana
berdasarkan kes rawatan sejak tiga tahun lalu, jumlah pesakit mental yang
dirawat akibat gangguan kes mental dan tingkah laku menurun 4.9 peratus (1,372
kes) pada tahun lalu dengan 26,186 kes berbanding tahun sebelumnya, 27,558 kes.
Bagi 2007, jumlah pesakit direkodkan ialah 27,384 sebelum meningkat 174 kes
pada 2008.
Sehubungan itu katanya, keluarga dan masyarakat perlu memainkan peranan penting
memastikan ahli keluarga yang mengalami masalah mental mendapatkan rawatan dan
patuh mengambil ubat.
Ketika ini, kaedah rawatan diguna pakai berdasarkan biopsikososial model iaitu
meliputi rawatan ubatan (farmakoterapi), psikologikal dan rawatan sosial.
“Ubat yang digunakan untuk merawat penyakit mental termasuklah ubat
psikotropik, anti-psikotik dan anti-depresant serta ubat lain mengurangkan
tekanan, keresahan dan kemurungan. Semua ubat yang digunakan kini lebih baik
dan kurang kesan sampingan,” katanya.
p/s: walaupn berita ini lama,akhir tahun 2010 tetapi fikir2kan lah.
No comments:
Post a Comment