Dr Abdul Kadir Abu Bakar
Dr Abdul Kadir Abu Bakar
 
MASYARAKAT kita hari ini perlu membezakan di antara penyakit mental dan sihir lantaran kebiasaan sesetengah orang yang gemar dan cenderung mengaitkan penyakit mental dengan perbuatan sihir.

Pakar yang juga Pengarah, Hospital Permai Johor Bahru, Dr Abdul Kadir Abu Bakar berkata, kita tidak boleh menafikan kewujudan sihir yang mana perbuatan (atau kejadian) luar biasa dilakukan oleh manusia secara tersembunyi (ghaib) dengan membabitkan makhluk halus.

Menurutnya, sehingga kini masyarakat gemar mengaitkan gangguan sihir dengan masalah mental kerana ia menjadi amalan kepercayaan sejak  turun temurun. Tetapi, sihir dan penyakit mental adalah sesuatu yang berbeza.
 "Akibat perbuatan sihir,  pesakit akan mengalami delirium atau meracau berikutan jangkitan kuman pada otak. Apabila otak gagal berfungsi, pesakit turut berhadapan dengan masalah phrenitis atau otak membengkak.

Seterusnya tidak mampu mengurus diri, sehingga menyebabkan perubahan secara drastik. Sihir membabitkan penggunaan mantera, pemujaan dan penyeruan menggunakan makhluk halus yang kemudian mempengaruhi otak
dan akhirnya mengganggu fungsi akal fikiran rasional pesakit.

“Apatah lagi kekerapan dalam filem atau rancangan televisyen mengenai sihir membawa andaian psikologi yang seterusnya mengukuhkan lagi persepsi sedemikian,” katanya.

Beliau tidak menolak punca perbuatan sihir disebabkan dorongan perasaan iri hati, hasad dengki dan dendam seperti dalam perebutan jawatan atau hasrat memenangi hati majikan.

“Bagaimanapun setakat ini kita belum menerima pesakit yang mengalami gangguan sihir dirujuk kepada pihak hospital ini,” katanya.

Berhubung sakit mental katanya, 12 peratus daripada jumlah penduduk di negara ini  alami masalah kesihatan mental dan masih ramai yang tidak dirawat.

Beliau menafikan budaya kerja di negara ini menjadi faktor penyumbang penyakit mental sebaliknya setuju bahawa bebanan tanggungjawab dalam kehidupan sosial moden hari ini seperti keruntuhan institusi keluarga  boleh menyebabkan penyakit mental.

Tetapi katanya, apa yang menjadi masalah sekarang ialah masih ramai pesakit mental yang tidak mendapatkan rawatan sedangkan rawatan boleh diperoleh secara percuma.

Bukan sahaja di Hospital Permai ini,  malah perkhidmatan rawatan untuk pesakit mental turut disediakan di semua hospital besar seluruh daerah. Selain dirujuk kepada pakar psikiatri, kaedah rawatan yang dilakukan seperti psikoterapi, kaunseling dan ubatan medikal adalah antara yang terbaik di dunia.

sumber 
Wartawan Sinar Harian
23 Julai 2012