Selamat datang ke laman web e-Komuniti (Default Tracing) , laman web ini direka khas bagi menyokong Komuniti yang dikendalikan oleh Unit Komuniti JPDKM. Anggota selaku petugas . mewujudkan laman web e-komuniti ini yang bertujuan memudahkan kakitangan mengakses maklumat - maklumat terbaru yang dapat dikesan secara online.

Thursday, November 8, 2012

Imam maut dipukul


WARTAWAN SINAR HARIAN
8 November 2012



TANAH MERAH – Seorang imam maut dipukul dengan senjata tumpul oleh suspek dipercayai lelaki kurang siuman ketika menunaikan solat sunat Subuh bersendirian di madrasah Kampung Gual Petai Lima, jam 6 pagi semalam.

Mangsa, Abdullah Nawang, 77, disahkan meninggal dunia sejurus sampai di wad kecemasan Hospital Tanah Merah akibat kecederaan parah di kepala dan leher.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah oleh dua jemaah wanita yang datang solat Subuh di madrasah berkenaan.

Menurutnya, sejurus laporan dibuat, polis menahan suspek berusia 57 tahun yang berasal dari kampung sama dengan mangsa di sebuah kedai kopi di Kampung Kulim, kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian.

“Suspek pernah menerima rawatan di wad psikiatri di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) Kota Bharu.

Sebelum ini polis tidak pernah menerima laporan dia mengganggu orang ramai ataupun melakukan serangan agresif seperti pagi semalam.

“Motif serangan masih disiasat dan kes disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, semalam.

Abdul Aziz berkata, bedah siasat akan dijalankan untuk mengesahkan sebab-sebab kematian dan kes tersebut dianggap sudah selesai dengan tertangkapnya suspek.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, pihaknya turut mengesan senjata tumpul atau objek keras yang digunakan suspek dalam serangan tersebut.

Sementara itu, anak lelaki mangsa, Mohd Zain, 51, berkata, bapanya keluar lebih awal dari rumah pagi semalam untuk membersihkan madrasah sementara menunggu masuk waktu subuh.

Menurutnya, dia sekeluarga mengetahui insiden tersebut selepas dimaklumkan oleh jemaah yang bersolat di madrasah yang terletak kira-kira 10 meter dari rumah.

“Ketika sampai di lokasi kejadian, bapa saya sudah tidak sedarkan dan dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk mendapatkan rawatan.

“Suspek dipercayai mengalami masalah mental sejak berusia 20-an lagi dan pernah memukul beberapa ahli keluarga saya termasuk ibu saudara Mek Yah Udin, 67, kira-kira dua tahun lalu,” katanya.

Mohd Zain berkata, bapanya sebelum ini merupakan seorang bilal dan dilantik imam madrasah tersebut menggantikan imam sedia ada yang mengalami masalah kesihatan beberapa bulan lalu.


http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/imam-maut-dipukul-ketika-solat-1.101909


No comments:

Post a Comment